Wednesday, August 19, 2009

Similarities of "Traitors & Betrayers"

OGOS 19 — Perjuangan Melayu memerdekakan negara ini sangat lama. Menurut catatan sejarah, hal Melayu Champa diserang China pernah diriwayatkan dalam Hikayat Siti Zubaidah. Hal ini juga boleh ditinjau dalam Syair Siti Zubaidah.

Mungkin itulah antara secebis kisah perjuangan kaum Melayu purba menentang penjajah, sebelum Kesultanan Melayu Melaka dijajah kuasa Eropah; Portugis, Belanda dan British.

Buku teks sejarah kita kerap memberikan tanda bermulanya sejarah Melayu pada zaman Parameswara membuka Melaka. Jika ditinjau pada sudut masa itu, maka Portugis itulah penjajah kita yang pertama.

Sebenarnya, peperangan bangsa Melayu lebih lama daripada itu. Mereka pernah bergelut dengan bangsa Khmer, Viet di Indochina dan kisah-kisah ini kalau mahu diceritakan, lalu ia akan menjadi hikayat purbalara yang panjang pula.

Apa yang paling penting di sini, bukanlah perihal sikap penjajah dan siapa penjajah yang pertama menjajah negara-negara Melayu.

Paling penting di sini ialah persamaan antara pengkhianat, pengkhianatan di dalam setiap peristiwa yang melibatkan peperangan itu.

Kerajaan-kerajaan Melayu itu kalah bukannya disebabkan oleh faktor kekuatan peralatan ketenteraan musuh.

Sebenarnya, kejatuhan kerajaan Melayu terdahulu banyaklah didorong oleh peranan para pengkhianat dan bangsawan Melayu yang dibeli dengan penjajah dan kuasa asing Eropah itu. Negara kita runtuh dengan sebab maklumat rahsia pertahanan jatuh ke pihak musuh.

Melayu yang dianggap penderhaka

Dalam contoh-contoh klasik, kerap kali orang-orang kita memajukan pendapat yang silap mengenai contoh-contoh penderhakaan. Antara watak yang dipilih mereka sebagai watak penderhaka itu ialah Hang Jebat, Megat Seri Rama dan Sang Rajuna Tapa.

Sebenarnya, jika kesemua kes klasik di atas mahu dianggap penderhaka, nescaya derhaka mereka itu bersebab. Dan, sebab penderhakaan itu berpunca daripada hukuman raja yang tidak adil. Dalam kes ini, kes derhaka itu tidak kuat kerana sebabnya dari istana juga.

Watak-watak ini berjuang untuk menuntut pembelaan terhadap orang-orang yang mereka kasihi. Misalnya, Jebat derhaka kerana ingin membela ke atas Hang Tuah yang difitnah.

Hang Tuah dihukum tanpa usul periksa dan tanpa dipertimbangkan bahawa laksamana itu pernah berjasa kepada baginda sultan dalam banyak perkara.

Sementara itu Laksamana Bentan, Megat Seri Rama ingin menuntut bela ke atas isterinya terbunuh, gara-gara mengidam buah nangka milik sultan. Isteri laksamana dibunuh tanpa mengambilkira bahawa pahlawan itu pernah berjasa membantu sultan memerangi lanun.

Sang Rajuna Tapa pula memiliki seorang anak yang telah dijadikan gundik raja oleh Raja Iskandar Syah. Akhirnya, dengan tanpa usul periksa, anaknya dihukum sula akibat dengki dan fitnah oleh gundik-gundik yang lain.

Disebabkan rasa marah dengan kejadian itu Sang Rajuna Tapa telah bersekongkol dengan Betara Majapahit untuk menyerang Melaka. Raja Iskandar Syah diriwayatkan telah kalah, lalu lari ke Muar. Sang Rajuna Tapa dan isteri menjadi batu kerana menderhaka.

Kes-kes seperti ini menunjukkan kepada kita bahawa yang sebenarnya Melayu yang tulen itu bukan penderhaka, malah mereka setia dan hormat kepada raja-rajanya.

Penderhakaan (jika dapat dikatakan demikian) berlaku setelah raja, penguasa sendiri yang melakukan kesilapan tersebut.

Cuma seorang watak yang dikenalpasti sebagai penderhaka dalam ertikata yang sebenar, iaitu watak Si Kitul yang tidak tulen berbangsa Melayu. Turut sama terheret dalam drama pengkhianatan ini ialah Raja Mendeliar.

Umno bukan parti Melayu yang pertama

Masa berlalu. Kini masa depan Melayu banyak bergantung kepada kebijaksanaan mereka membuat keputusan bijak berhubung apa-apa jua perkara.

Terbaru, dalam kes Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan gelaran, jolokan pengkhianat Melayu, ia tentunya mengundang reaksi keras daripada pelbagai pihak.

Dalam fikiran Muhyiddin, pengkhianat kepada Umno mungkin sama dengan pengkhianat ke atas bangsa Melayu. Apakah benar dakwaan Muhyiddin itu?

Sejarah menunjukkan bahawa sebelum Umno diwujudkan pada 1946, sudah wujud parti Melayu pertama; Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang tertubuh pada 1945.

Ketika PKMM diharamkan oleh British pada 1948, Umno tidak mengecam dan membela PKMM. Hanya Umno yang tidak diharamkan. Maka, siapakah pengkhianat Melayu?

Melayu mengikut perlembagaan

Jika Muhyiddin melihat tindakan mengecam Umno, menjatuhkan serta mengkritik Umno sebagai suatu pengkhianatan, maka Muhyiddin perlu melihat semula perlembagaan.

Melayu, menurut perlembagaan, adalah mereka yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Tiada disebut — bahawa Melayu itu ialah mereka yang menganggotai dan menjadi ahli kepada parti Umno.

Ini bererti, mengkritik Umno, keluar daripada Umno dan lain-lain tindakan yang sewaktu dengannya tidak boleh dianggap sebagai mengkhianati Melayu.

Umno bukanlah institusi istana, parti itu bukanlah milik raja, kehadirannya direstui oleh penjajah British. Jadi sikap orang Melayu yang tidak menganggotai Umno, keluar Umno, mengkritik pimpinan Umno tidak boleh dilihat sebagai pengkhianatan dan penderhakaan.

Article Source: http://themalaysianinsider.com.my/index.php/opinion/breaking-views/35472-pengkhianatan-melayu-bukan-mengikut-kacamata-parti-umno--ali-bukhari-amir-

No comments:

Post a Comment

Please avoid profanities, swearing, curses and the like, and let's be civil with our comments. Thank you.

Norman