Sekiranya matlamat Utusan Malaysia adalah untuk membangkitkan kemarahan orang ramai dengan menyiarkan rencana bertajuk "Melayu jangan jadi bacul" tulisan Noor Azam, maka akhbar tersebut telah berjaya mencapai matlamatnya. Rencana tersebut telah membuatkan saya begitu marah sehinggalah saya menyumpah dan mencela skrin komputer saya.
Kemarahan yang meluap-luap ini tidak pernah saya rasai, walaupun telah banyak rencana yang disiarkan oleh Utusan Malaysia yang saya baca. Kemarahan saya bukanlah disebabkan saya bersetuju dengan apa yang dibangkitkan oleh rencana tersebut. Saya, seperti ramai yang lain, begitu marah dengan rencana tersebut kerana ia telah meniupkan api perkauman dengan melaga-lagakan orang Melayu dan orang bukan Melayu di negara ini.
Saya tidak mahu membuat ulasan tentang perkara-perkara berkenaan dengan beberapa parti-parti politik yang disebut di dalam rencana tersebut. Politik adalah seni hentam-menghentam, kritik-mengkritik dan balas-membalas. Dan Utusan Malaysia adalah sebuah akhbar politik, walaupun ia juga memuatkan berita-berita sukan, hiburan dan luar negara. Jadi biarlah ahli-ahli politik dan parti-parti mereka menjawab dakwaan Utusan Malaysia.
Apa yang saya ingin katakan di sini adalah berkenaan dengan sentimen perkauman yang dibakar oleh rencana tesebut.
Mengikut rencana tersebut, hak-hak orang Melayu kian dicabar oleh orang-orang bukan Melayu. Kononnya perkara tersebut semakin menjadi-jadi sejak akhir ini. Tetapi, walaupun begitu banyak "peringatan" dan "amaran" yang diberikan, orang Melayu masih tidak "bangkit" dan "bangun" untuk mempertahankan bangsa mereka. Maka rencana itu bertanya, adakah Melayu sudah menjadi bacul?
Apakah yang dimaksudkan dengan "bangkit" dan "bangun", yang diseru kepada orang Melayu oleh rencana tersebut? Walaupun tampak tegas dan garang, rencana tersebut tidak pula menyatakan apa yang dimaksudkan dengan perkataan-perkataan tersebut.
Saya petik dari rencana tersebut:
Akan tetapi semua seruan dan amaran hanya tinggal dalam lipatan akhbar Utusan Malaysia sahaja. Orang Melayu tidak bangun bangun juga. Pertubuhan Melayu - yang lama dan baru - hanya sekadar mengeluarkan kenyataan marah-marah dan membuat laporan polis sahaja. GAPENA yang menganjurkan Kongres Perpaduan Melayu yang sangat besar dan penuh bersemanga pun, sampai sekarang tidak nampak sebarang tindakan. Pemimpin Umno, termasuk Pemuda pun sekadar mengeluarkan kenyataan dan amaran sahaja.
Maka "bangkit" dan "bangun" bukanlah "seruan", "amaran", "mengeluarkan kenyataan", "membuat laporan polis" seperti yang telah dibuat sebelum ini. Kita boleh membuat kesimpulan bahawa "bangkit" dan "bangun" merujuk kepada sesuatu tindakan yang lebih agresif daripada apa yang dilakukan sebelum ini. Persoalannya, apakah tindakan tersebut? Memberontak? Berdemonstrasi? Membuat rusuhan kaum? Saya tidak tahu dan saya berpendapat bahawa pihak berkuasa haruslah membuat siasatan tentang apa yang dimaksudkan dengan "bangkit" dan "bangun" untuk memastikan bahawa ia tidak mengandungi unsur-unsur hasutan.
Inilah yang membuatkan saya begitu marah. Di kala rakyat jelata sedang berganding bahu untuk merapatkan jurang kaum dan agama dan membina sebuah negara Malaysia yang lebih maju, Utusan pula membangkitkan isu perkauman. Tatkala Perdana Menteri kita memperkenalkan konsep "1Malaysia" yang inklusif dan bertujuan untuk memupuk perpaduan, Utusanpula secara terbuka telah mendakwa bahawa apa yang dikehendaki oleh orang Cina dan India adalah kuasa politik dan pentadbiran yang lebih besar.
Menurut rencana tersebut:
Orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan Kumpulan Utusan Melayu yang selama ini sangat bersabar dan sentiasa sangat berhati-hati menjaga hati orang Cina dan India, sudah tidak boleh tahan lagi.
Saya tidak tahu sejak bila orang Melayu melantik Kumpulan Utusan Melayu untuk menjadi jurucakap kami. Saya sendiri tidak pernah dan tidak mahu Utusan Malaysia untuk bercakap bagi pihak saya. Saya juga tidak percaya bahawa Raja-Raja Melayu ada mengambil Utusan Malaysia sebagai lidah rasmi mereka. Saya percaya mereka juga sudah tentu tidak bersetuju dengan rencana tersebut.
Saya sebenarnya tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan "hak-hak orang Melayu dicabar". Setahu saya, apa yang dikatakan sebagai "hak Melayu" itu telahpun termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ianya tidak boleh dipinda atau dimansuhkan dengan mudah dan perlu persetujuan daripada Majlis Raja-Raja. Maka retorik yang sering dimainkan bahawa hak-hak tersebut semakin hilang hanyalah mainan politik golongan tertentu.
Tetapi dengan sendirinya, rencana tersebut telah meluaskan "hak-hak Melayu" kepada perkara-perkara seperti kedudukan-kedudukan tinggi di dalam perkhidmatan awam dan kerajaan. Saya pun tidak tahu di mana dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur mestilah berbangsa Melayu.
Adakah perlu kita penuhkan kakitangan awam kita dengan orang-orang Melayu sahaja? Adakah dengan berbuat demikian, kita dapat memperkasakan bangsa Melayu? Adakah kemiskinan dan masalah sosial yang melanda orang Melayu akan terhapus hanya kerana jawatan tinggi dalam kerajaan dipegang oleh orang Melayu? Kalau begitu, mengapakah saya masih melihat anak-anak Melayu terbiar tanpa pembelaan? Mengapakah kekayaan negara masih tidak disalurkan kepada orang-orang Melayu yang memerlukannya?
Jika kita ingin negara kita bersaing dengan negara-negara lain, kita tidak boleh melihat semua perkara melalui kanta etnik. Kita perlukan yang terbaik tanpa mengira warna kulit dan keturunan. Institusi-institusi awam adalah milik semua dan bukannya "institusi Melayu". Tidak ada guna sekiranya institusi-institusi tersebut didominasi dengan bangsa Melayu, tetapi semuanya tidak efisyen, tidak efektif dan dibelenggu dengan penyelewengan. Nasib Melayu tidak akan terbela hanya kerana institusi awam dipenuhi oleh orang Melayu.
Saya percaya orang Melayu akan dapat membela nasib mereka sendiri. Jangan sangka Melayu itu bangsa yang bodoh dan malas yang sentiasa memerlukan jaminan dan pertolongan dari kerajaan. Jangan hina Melayu sebegitu rupa!
Saya percaya ramai yang telah muak dengan sentimen perkauman yang sering dimainkan oleh Utusan Malaysia. Ini bukan kali pertama dan saya percaya ia bukan kali terakhir. Tetapi sampai bila harus kita memberi muka kepada media yang mengganggu-gugat keharmonian kaum seperti ini?
Terimalah kenyataan bahawa orang Melayu telah berubah. Mereka tidak mudah termakan dengan umpan perkauman yang disajikan oleh pihak-pihak tertentu. Rencana tersebut tersasar, kerana orang Melayu tidak bacul. Orang Melayu kini semakin matang, semakin kritikal dan semakin berani. Mereka sedar bahawa arus perubahan sedang melanda dan mereka tidak takut menghadapinya. Orang Melayu kian faham bahawa saingan dari dalam dan luar negara tidak dapat dielakkan. Orang Melayu tidak lagi melihat bangsa lain sebagai musuh yang sentiasa ingin merampas hak mereka.
Yang bacul dan penakut adalah mereka tidak mahu berubah dan masih berpegang teguh kepada agenda perkauman yang sempit dan melemaskan.
Source: http://loyarburok.com/human-rights/why-you-can-human-rights/tidak-melayu-tidak-bacul/
No comments:
Post a Comment
Please avoid profanities, swearing, curses and the like, and let's be civil with our comments. Thank you.
Norman