Sunday, June 7, 2009

Shamsiah Fakeh Interview... excerpts from her memoirs

Wawancara majalah Mastika
Dengan Shamsiah Fakeh pada 2 Oktober 2007

Oleh: Green Socialist - Laman M@RHAEN

Sewaktu membelek-belek buku-buku untuk membuat rujukan aku terbaca sebuah wawancara bersama Srikandi Shamsiah Fakeh di dalam buku Memoirnya. Aku merasakan wawancara ini patut dibaca oleh semua yang sentiasa menafikan perjuangan ahli-ahli PKM. Walaupun wawancaranya ringkas tetapi apa yang mahu disampaikan oleh Srikandi Shamsiah cukup jelas. Wawasannya terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan kita yang tidak pernah mengharungi penderitaan dan kesengsaraan seperti mereka ini.

Kini Shamsiah telah pergi buat selama-lamanya. Yang tinggal adalah sebuah catatan hidupnya yang telah dibukukan di dalam Memoir Shamsiah Fakeh. Cerita Shamsiah tidak mungkin akan anda baca dari buku sejarah sekolah anak anda. Berlaku adillah kita dengan mendengar hujah dari pihak kedua dan selepas itu barulah kita membuat penilaian. Buat mereka-mereka yang terlalu bencikan dengan komunisme, aku berharap semoga dengan hati terbuka menilai apa yang dikatakan oleh srikandi Negara ini.

Mastika : Adakah Shamsiah menyesal masuk hutan, jadi pemimpin komunis dan berperang dengan British?

Shamsiah : Aku tidak pernah menyesal. Aku tidak menyesal masuk hutan dan masuk komunis.

Mastika : Apa pandangan Shamsiah terhadap perjuangan Parti Komunis Malaysia?

Shamsiah : Zaman PKM telah berlalu, tetapi jasad dan semangat perjuangannya menentang Jepun dan British akan kekal selamanya dalam sejarah. Komunis masih belum pupus dari muka bumi. Kamu sekarang boleh dapat lihat komunis di China, Russia, Cuba, Amerika, Jepun dan Australia. UMNO turut mempelawa Parti Komunis China untuk menyertai persidangan agong sebagai tetamu terhormat…. Komunis sekarang adalah apa? Apa rupa komunis pada masa akan datang, generasi muda berpeluang untuk melihatnya…

Mastika : Ada bekas pemimpin PKM mengatakan Shamsiah pengecut, kekok mengunakan senjata api, kerap sesat dan tidak popular di hutan? Apa komen Shamsiah?

Shamsiah: Aku pernah berkali kali sesat di dalam hutan, paling lama ialah 5 hari 5 malam. Setiap kali aku mengalami kelaparan, kegelapan, kotor, sakit dan keseorangan. Aku seorang perempuan dan insan biasa, juga rasa dan tau apa dia ketakutan dan kesukaran. Walaupun pistol ada di tangan aku, tapi tak ada pun sebutir peluru membunuh angota tentera dan polis. Sebaliknya akulah yang terkena hujan peluru mereka!

Mastika : Ramai bekas askar yang marah pada Shamsiah. Mereka masih anggap komunis itu pengganas! Bunuh keluarga mereka. Apa pandangan Shamsiah?

Shamsiah : Orang Britishlah yang sepatutnya paling benci aku. Sebegitu lama orang British nak tangkap aku tapi tak dapat. Pada abad ke 21 ini, kita patut mengenang kembali sejarah dengan hati terbuka, peperangan adalah perkara hidup mati, kita semua tak suka peperangan. Kamu fikirlah kenapa penjajah boleh menjajah kita selama ratusan tahun? Dan apa pula sebabnya penjajah sanggup lepas tangan dan beredar pulang dari tanah air ini!

Mastika : Adakah Shamsiah merasa diri anda sebagai seorang pejuang kemerdekaan?

Shamsiah : Memperjuangkan kemerdekaan adalah satu-satunya perkara yang aku lakukan untuk bangsa dalam hidup ku.

Mastika : Apa pandangan terhadap Aishah Ghani? Aisyah pernah berkata Shamsiah terdorong masuk PKM dan tidak mengkaji hal-hal di belakang tabir (AWAS diperalat komunis)

Shamsiah : Aisyah dengan aku bagai adik-beradik, dia seorang tokoh perjuangan kemerdekaan, aku gembira dan bersyukur dengan kejayaannya! Cakap Aisyah munkin betul separuh, tapi kalau pada masa itu aku pintar dalam memilih untuk berjuang di mana hidup aku akan senang lenang dan tiada risiko, maka aku bukan Shamsiah!

Mastika : Apa pandangan Shamsiah terhadap Abdullah C.D. (Che Dat), Ahmad Boestaman, Wahi Abdullah, Musa Aman dan Ibrahim Chik?

Shamsiah : Kesemua orang ini tokoh pejuang kemerdekaan dan juga rakan seperjuangan aku, kita telah pun berkenalan dalam tahun 1940-an. Sekarang setengah dari mereka telah meninggal dan ada pun sudah tua dan uzur, aku pun. Kepada mereka aku sanjungi dan hormati.

Mastika: Apa yang paling dikesali Shamsiah dalam perjuangan?

Shamsiah : Tiada apa yang aku kesalkan. Beribu-ribu pejuang telah terkorban semasa berjuang untuk kemerdekaan. Mereka juga tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan atau kemewahan dari perjuangan mereka.

Mastika : Apa yang paling dibanggakan dalam perjuangan?

Shamsiah : Peninjauan terhadap pembangunan di Malaysia harus dilakukan dengan turut meninjau pembangunan di seluruh dunia. Kita tidak boleh membandingtkan keadaan Malaysia dengan 50 tahun yang lepas. Kita bukan sahaja memerlukan ekonomi yang maju, malah kita juga perlu mempertahankan keadilan dan hak asasi manusia, mengurangkan jurang antara kaya dan miskin serta tidak mengkategorikan golongan berdasarkan bangsa dan agama. Itulah kemerdekaan yang kita mahu. Pemerintah yang hanya dikuasai oleh segelintir hartawan, cendekiawan Melayu dan bangsawan bukanlah sesuatu yang kita mahukan.

Mastika : Apa harapan Shamsiah sebelum menutup mata?

Shamsiah : Masa depan bangsa dan Negara akan dimiliki oleh generasi akan datang. Kamu yang dapat melihat peristiwa yang sebenar dalam sejarah pasti akan dapat menemui arah tuju untuk masa hadapan.

Di peti dari “MEMOIR SHAMSIAH FAKEH” DARI AWAS KE REJEMEN KE :10

Sosialis Hijau

http://greensocialis.blogspot.com

07.06.2009

Repost from: http://www.marhaen.info/v2/mar_a_greensocialist02.html


No comments:

Post a Comment

Please avoid profanities, swearing, curses and the like, and let's be civil with our comments. Thank you.

Norman