Nasionalis Vs Komunis
Oleh Ustaz Nasaruddin Tantawi
Entah dari mana ribut ini datang dan apa pula nama saintifiknya pun saya tidak tahu , tetapi apa yang pasti iklim politik negara seperti sedang cuba dialih .Tiba - tiba sahaja perkataan atau nama komunis ini menghiasi dada akhbar dan menitir dibibir pemimpin politik pemerintah .
Bekas - bekas parajurit tanahair ditemuramah dan tentunya akan melahirkan rasa dendam yang tidak akan padam terhadap komunis yang pernah mengganas di dalam negara kita seketika dulu .
Nama pemimpinnya Chin Peng menggamit memori penuh emosi semua rakyat negara ini . Usahkan parajurit tanahair yang sebahagiannya mengalami kecederaan kekal kerana bertempur dengan komunis dalam mempertahankan negara , kita hari ini yang terdiri dari kalangan anak - anak muda pasca merdeka turut bencikan komunis .
Saya sendiri hanya menyaksikan keganasan komunis melewati filem yang diabadikan oleh pihak penerangan dan penyiaran arkib negara . Filem seperti Bukit Kepong dan Leftenan Adnan tentu mampu menyampaikan mesej keganasan komunis seketika dulu .
Saya yakin , tiada insan yang siuman dan waras aqalnya menaruh bersimpati dengan komunis jika mereka menyaksikan keganasan komunis yang membunuh , membakar kampung halaman , merogol dan memperhambakan anak gadis kampung malah 1001 lagi siri keganasan dan penyeksaan yang tidak mungkin dapat saya riwayatkan dengan baik di sini .
Hari ini negara telah merdeka . Pembangunan dan kemajuan telah dicapai malah sistem pertahanan semakin canggih dan angkatan tentera negara semakin mantap . Komunis telah berjaya dilumpuhkan sepenuhnya sejak lama dulu . Negara telah bebas komunis .
Hanya perkataan komunis kembali menjadi sebutan gara - gara Chin Peng ingin pulang ke Malaysia .
Saya melihat ia seperti menjadi turning point kepada UMNO dan BN untuk membangkitkan semula kebencian dan kemarahan rakyat kepada komunis yang sememangnya tiada siapa yang tidak marah dan benci kepada komunis .
Persoalannya untuk apa membangkitkan semula kemarahan dan kebencian rakyat kepada komunis sedang komunis telah tidak lagi menjadi ancaman kepada negara . Kalau pun Chin Peng mahu pulang ke Malaysia , apakah negara yang kini telah maju dan membangun pula kuat sistem pertahanannya tiba - tiba menjadi takut dan kecut perut hanya kerana seorang bekas pengganas yang kini telah tua ganyut melebihi usia 80 tahun ?
Atau hanya UMNO dan BN mengambil kesempatan ini untuk mengalih isu dan mempermainkan sentimen rakyat agar tidak lagi menumpukan perhatian kepada kelemahan dan kemerosotan prestasi UMNO dan BN itu sendiri .
Saat rakyat telah hilang keyakinan dan rasa kebergantungan mereka kepada UMNO dan BN , tiba - tiba mereka yang menganut faham nasionalis berlagak hero membelasah komunis yang boleh saya kira sebagai objek yang tidak wujud .
UMNO seperti membelasah bayang - bayang . Kelihatan takut benar UMNO kepada bayang - bayang komunis seperti ketakutan Datuk Najib kepada bayang - bayang altantunya . Sedang itu hanya bayang - bayang ! Apalah yang boleh dilakukan oleh bayang - bayang ? Tapi kelihatan UMNO benar - benar membelasah bayang - bayang itu ! atau memang UMNO sudah gila bayang ?
Tidak syak betapa komunis adalah jahat , ganas , sadis , kejam dan zalim serta pernah mengancam keselamatan negara seketika dahulu . Tetapi hari ini komunis tidak lagi menjadi ancaman kepada negara .
Sebaliknya ancaman negara hari ini ialah gejala sosial yang semakin meningkat . Zina berleluasa lalu mencambahkan kelahiran anak luar nikah yang berpeleseran tanpa didikan sempurna . Jenayah bertambah rencam seperti tiada lagi jalan keluar . Ia berkembang selari dengan pertumbuhan material negara .
Bunuh , ragut , rogol , dera , ah long , culik , rompak dan 1001 jenis jenayah berat semakin menghantui keselamatan dan keamanan negara . Rakyat terancam dan tidak lagi mempunyai jaminan selamat . Rakyat seperti menanti giliran [ wali'yazubillah ] dengan rasa cemas untuk berdepan dengan segala musibah ini .
Menambah sukar kedudukan negara kita hari ini apabila tahap pencemaran akhlak dan nilai integriti kian parah . Rasuah , penyalah gunaan kuasa , penipuan , pecah amanah menjadi berita harian tanpa menunjuk kadar turunnya .
Kemelut ini terus berlarutan dan tiada siapa tahu bila ia akan berakhir . Ini semua bukan angkara komunis lagi . Komunis telah lama lenyap . Malah keganasan komunis hanya membunuh jiwa dan merosakkan harta benda .
Ancaman baru ini lahir dari sistem yang tempang sejak merdeka . Sistem yang dikemudi oleh nasionalis dengan penuh ego dan angkuh . Benar , sistem ini mampu membangunkan semula harta benda yang musnah angkara komunis , tetapi nasionalis gagal menyelamatkan tamadun dan peradaban yang kian runtuh angkara ancaman baru ini . Ancaman yang lahir dari sistem nasionalis yang menyimpang dari ajaran Islam .
Sejak merdeka sistem nasionalis ini mendominasi pemerintahan dan pentadbiran negara . Selama itu juga negara terus terancam dan semakin tenat . Saya percaya selama mana Islam tidak diberi peluang untuk memimpin dan mentadbir , negara ini akan terus menjunam menuju kehancuran dan kemusnahan seperti peradaban dan tamadun silam yang pernah dibinasakan oleh Allah swt.
Sungguh lucu apabila nasionalis lawan komunis sama seperti perompak lawan pencuri . Semua mereka ni tak betul .
Original post: http://zabidi-morad.blogspot.com/2009/06/nasionalis-vs-komunis.html
No comments:
Post a Comment
Please avoid profanities, swearing, curses and the like, and let's be civil with our comments. Thank you.
Norman