Mengapa berat menunaikan solat?
~ gambar hiasan ~
Assalamualaikum warahmatullah,Semua umat Islam rasanya sudah maklum apakah dia seksa Neraka itu. Api yang membakar sampai ke hati. Minumannya ialah leburan logam yang menggelegak yang tidak terhingga panasnya. Makanannya ialah buah yang berduri. Seksa Neraka tersangatlah pedih. Ia adalah sehina-hina tempat untuk kembali.
Rata-rata juga umat Islam tahu bahawa sembahyang itu tiang agama. Siapa yang mendirikan sembahyang, dia sebenarnya telah mendirikan agama. Siapa yang meruntuhkan sembahyang, dia telah meruntuhkan agama. Mereka juga tahu, yang membezakan di antara orang kafir dan orang Islam itu ialah sembahyang. Barang siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, nyata dia telah kufur.
Sembahyang adalah amalan pertama yang dihisab di akhirat. Kalau sembahyang tidak selesai, segala amalan yang lain tertolak.
Namun masih ramai umat Islam yang tidak menunaikan sembahyang lima waktu. Buktinya, fakta yang diperolehi daripada satu kajian yang telah dibuat oleh pakar motivasi terkenal, Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkenaan solat orang Muslim di Malaysia. Rujuk entry : Betullah orang Malaysia semakin gila!. Menurut kajian beliau yang saya simpulkan di sini:
- 80% umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu sehari
- hanya 17~20% sahaja yang cukup menunaikan solat fardu lima waktu sehari
- hanya 15% pelajar sahaja mengaku mengerjakan solat lima kali sehari
Masih ramai yang cuai menunaikan sembahyang. Yang cuai menunaikan sembahyang itu bukan sahaja orang muda tetapi juga orang tua. Bukan sahaja orang miskin tetapi juga orang kaya. Bukan sahaja di kalangan orang-orang bawahan tetapi juga orang-orang atasan. Bukan hanya dari kalangan orang-orang tidak berpelajaran tetapi juga yang berpelajaran tinggi. Bukan sahaja dari kaum pekerja atau buruh tetapi juga dari para eksekutif dan pengurusan. Bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga pemimpin. Bukan sahaja lelaki, tetapi ramai juga perempuan yang cuai bersembahyang.
Menjadi kafir kerana tidak bersembahyang tidak dirasakan sebagai suatu ancaman. Meruntuhkan agama kerana cuai sembahyang juga tidak dirasakan besar. Malahan, ancaman seksa Neraka yang begitu perit, hebat dan dahsyat pun umat Islam tidak rasa gerun dan takut.
Apakah puncanya umat Islam jadi begini?
Kalau ditanya pendapat orang, maka akan timbullah berbagai-bagai sebab dan alasan. Lemah imanlah. Kurang ilmu agamalah. Tidak ada asas agamalah. Kurang didikan agamalah. Kerana pengaruh liar seperti rock, black metal, dadah dan sebagainya. Kerana ibu ayah sibuk mengejar dunia dan tidak mengambil berat serta tidak ada masa untuk anak-anak. Kerana tidak ada kasih-sayang dari ibu bapa dan keluarga. Kerana sibuk dengan urusan, kerja, tugas, perniagaan dan bermacam-macam lagi alasan.
Mungkin alasan-alasan ini boleh diterima tetapi ia lebih merupakan alasan-alasan sampingan. Ada sebab dan alasan yang lebih pokok dari itu iaitu rata-rata umat Islam sudah tidak kenal Tuhan. Umat Islam berat menunaikan sembahyang kerana mereka tidak kenal Tuhan. Apabila Tuhan tidak dikenali, maka umat Islam tidak cinta dan tidak takut dengan Tuhan. Apabila cinta dan takut tidak ada, maka tidak wujud hubungan hati dengan Tuhan.
Hati yang tidak terhubung dengan Tuhan tidak ada apa-apa rasa. Tidak ada keinsafan. Tidak ada kesedaran. Tidak ada rasa bahawa Tuhan itu diperlukan. Bahawa Tuhan itu Maha Hebat dan Maha Agung. Tidak ada rasa bahawa kita manusia begitu kerdil dan lemah di sisi Tuhan. Walhal hati itu adalah wakil Tuhan pada diri kita, tempat kita berzikir dan berhubung rasa dengan Tuhan. Dalam erti kata yang lain, kalau hati tidak terhubung dengan Tuhan, kita tidak akan khusyuk dengan Tuhan.
Itulah sebabnya konsep pendidikan Islam bermula dari apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, bermaksud, "Awal-awal agama mengenal Allah."
Setelah Allah dikenali, dicintai dan ditakuti, maka kita akan suka mengamalkan syariat. Kita akan suka bersembahyang. Kita akan suka membuat perkara yang Tuhan suka. Kita akan suka menggembirakan Tuhan. Kita akan khusyuk dengan Tuhan. Akan timbullah keinginan untuk menyembah dan membesarkan-Nya dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Barulah datang keinginan untuk bersembahyang kerana sembahyang itu ialah upacara untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Kalau Tuhan tidak dirasakan besar dan agung maka kita tidak akan terdorong untuk bersembahyang. Sembahyang tidak akan ada apa-apa makna.
Yang menjadi masalah, umat Islam sudah tidak dididik mengikut konsep pendidikan Islam ini lagi. Mereka tidak dikenalkan kepada Tuhan terlebih dahulu. Mereka dikenalkan kepada dunia dan apabila sudah tua atau dewasa, barulah hendak berusaha untuk mengenal Tuhan. Itu pun hanya bagi orang yang sedar dan yang mendapat hidayah.
Kalau setiap anak dididik dari kecil untuk mengenal Tuhan, maka semua akan jadi mudah. Dari kecil lagi anak-anak sudah kenal, cinta dan takut dengan Tuhan. Dari kecil lagi mereka sudah merasa khusyuk dengan Tuhan. Orang yang khusyuk dengan Tuhan akan mudah bersembahyang. Tuhan ada berfirman, maksudnya: "Jadikanlah sabar dan solat itu sebagai penolongmu. Sesungguhnya solat itu berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk." (Surah al-Baqarah, 2:45)
Kalau sudah tua dan dewasa baru hendak mengenal Tuhan, ia seperti anak angkat yang sudah tua mahu diperkenalkan oleh ibu angkatnya kepada ibu kandungnya sendiri. Memang dia akan menerima hakikat bahawa ibu kandungnya itu memang benar ibu kandungnya. Lebih-lebih lagi kalau disahkan dan diakui pula oleh ibu angkatnya. Tetapi untuk hidup dengan ibu kandungnya atau untuk berpindah dari rumah ibu angkat untuk tinggal bersama-sama ibu kandungnya, itu amat rumit sekali. Dia tidak akan mahu. Cintanya telah tertumpah kepada ibu angkatnya kerana ibu angkatnyalah yang telah banyak mencurahkan kasih sayang padanya. Begitu jugalah orang yang telah meninggalkan Tuhannya untuk bermewah di dunia. Dunia seperti ibu angkatnya. Memang sukar untuk kembali kepada Tuhan yang menciptanya.
Renung-renungkan!
No comments:
Post a Comment
Please avoid profanities, swearing, curses and the like, and let's be civil with our comments. Thank you.
Norman